Tuesday, January 5, 2010

Selamat Tahun Baru Hijrah & Masihi

Salam Semua,

Selamat datang ke tahun 1431Hijrah dan juga 2010 Masihi semoga pada tahun ini kita akan dapat menambah lagi ibadat, keimanan dan ketaqwaan kita semua.

Tahun lalu merupakan tahun yang mencabar untuk semua, berlaku pelbagai kecelaruan di dalam kehidupan dari segi kewangan, kegawatan ekonomi, bencana alam, pengeboman, peningkatan suhu bumi dan banyak lagi. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar segala dugaan dan bencana yang telah menimpa kita pada tahun yang lalu ditukarkan kepada kebaikan dan kejayaan pada tahun ini.

Pada tahun lepas, saya telah berjaya mendapat no 1 di dalam kelas tingkatan 2 KAA. Semasa cuti sekolah saya telah dihantar ke program daurah motivasi dan keagamaan di Masjid Negeri Shah Alam bermula dari 23/11/2009 sehingga 20/12/2009 bermula dari jam 0830 pagi hingga 1700 petang. seramai 503 peserta menyertai program ini dari usia 7 tahun hingga ke 18 tahun. Bayaran yang dikenakan hanyalah RM30-00 dengan disediakan minum pagi, makan tengahari dan minum petang. Saya berasa bersyukur kerana dapat menyertai program ini. Saya juga dapat meningkat ilmu pengetahuan yang ada mengenai agama Islam dan pelbagai ilmu lain dari program ini.

Selepas program ini, saya dihantar untuk menyertai program remaja Islam cemerlang anjuran Masjid Al-Mukminun USJ2 selama satu hari satu malam dengan qiamullail pada 26-27/12/2009. Banyak pengajaran baru yang didapati seperti ceramah mengenai dadah oleh AADK dan juga ceramah lain oleh penceramah jemputan. Saya amat-amat berterima kasih kepada semua AJK masjid yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan program ini dan meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan program ini.

Pada tahun ini saya, telah dilantik sebagai ketua kelas 3KAA dan saya akan menduduki peperiksaan PMR. Saya berjanji untuk menjalankan tanggungjawab saya dengan baik dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat 9A dalam PMR tahun ini.

Sekian.

Wassalam
Danial Abdul Ghani

Sunday, September 27, 2009

SELAMAT HARI RAYA & MAAF ZAHIR BATIN

Salam Kepada Semua Di Luar Sana,
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin dari semua yang mengenali saya tidak kira di mana jua anda berada.
Saya menyusun sepuluh jari-jemari ini merendahkan diri memohon ampun dan maaf di atas apa jua kesalahan yang telah saya lakukan dari sebesar-besar hingga sekecil-kecilnya dan juga halalkan apa jua yang telah saya ambil, pakai dan guna, makan dan minum samada yang diketahui atau yang tidak diketahui semenjak dari kecil hingga dewasa.
Saya juga berharap agar semua di luar sana berhati-hati semasa memandu dan sambutlah hari raya dengan berhemat dan eratkanlah silaturrahim sesama insan.
Sekian.
Wassalam,
Daniel Abdul Ghani

Tuesday, August 18, 2009

SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA.

Saya mengucapkan selamat datang ke blog saya. Hari ini adalah hari yang bersejarah bagi saya kerana ayah saya telah membantu untuk membina blog ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang telah mendidik saya untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Terlalu banyak nasihat yang diberikan kepada saya di dalam usaha mereka untuk membentuk saya agar mempunyai peribadi yang diredhai ALLAH.

Tujuan saya mengujudkan blog ini adalah untuk berinteraksi dengan saudara-mara, kawan-kawan, guru, ustaz, ustazah dan ibubapa serta sesiapa saja yang berminat memberi nasihat, pandangan dan tunjuk ajar agar saya dapat memperbaiki kelemahan diri dan menjadi insan yang lebih baik dan sentiasa menurut perintah ALLAH. Seperti maksud hadith: "Sampaikanlah dari aku walaupun satu ayat". Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk sama-sama nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain agar kehidupan kita bertambah baik dan diredhai ALLAH.

Di kesempatan ini saya ingin megucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan memohon ampun dan maaf kepada kedua ibubapa, guru-guru, sahabat-handai dan semua saudara-mara serta sesiapa saja yang saya kenali atau mengenali saya.


Saya akan menulis lagi di masa yang terdekat ini.

Sekian, terima kasih.

Wassalam,
DANIEL ABDUL GHANI